Baru-baru ini pada 12/03/2010 sekolah mengadakan satu program iaitu bacaan yasin dan tazkirah. Semua guru dan murid terlibat dalam program ini. Bacaan Yasin dipimpin oleh Ustaz Mohamad Shaharun bin Abd Aziz manakala Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Mohamad bin Wahid. Tazkirah pada kali ini fokus kepada perbuatan mencuri.
Saya sempat melihat di satu laman web tentang mencuri ini. Berikut adalah maklumat tentang tajuk tersebut :
Perbuatan curi adalah suatu dosa besar dan menunjukkan seseorang itu tiada beriman, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tidak akan mencuri si pencuri ketika hendak mencuri sedang dia dalam keadaan beriman". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Jelas daripada hadis tersebut bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menggambarkan bahawa seorang yang beriman tidak akan mencuri kerana dia mengetahui bahawa mencuri itu adalah satu dosa besar.
Menurut setengah ulama ada menyatakan bahawa orang yang mencuri jika bertaubat tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepadanya (di akhirat) kelak selagi tidak mengembalikan barang yang dicurinya kepada pemiliknya. Jika si pencuri muflis, maka hendaklah dia meminta halalkan barang curian itu dari pemiliknya. Jika pemiliknya tidak memaafkannya, dia akan dituntut di akhirat kelak kerana hak manusia tergantung kepada keredaan tuan yang ampunya itu sendiri.
Bayangkanlah betapa seksa dan azabnya manusia yang melakukan dosa seperti mencuri, apatah lagi jika berlaku sesuatu musibah ke atas dirinya seperti kematian semasa dia sedang melakukan dosa sedangkan dia tidak sempat bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Bayangkanlah, sedangkan barang yang dicuri itu tidaklah seberapa nilainya jika dibandingkan dengan hukuman yang akan diterimanya semasa di dunia apatah lagi di akhirat kelak.
